saya tolong cari

Jumaat, 10 Disember 2010

PAK LAH

Abdullah bin Ahmad Badawi

Yang Amat Berhormat Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (lahir: 26 November 1939; juga dikenali sebagai Pak Lah) merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, mewarisi kepimpinan daripada Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Beliau juga merupakan bekas Presiden UMNO ke-6, parti politik yang paling besar dalam Malaysia. Selepas melepaskan jawatan Perdana Menteri Malaysia, 1 September 2009, beliau dilantik menjadi Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
Sebelum menjadi Perdana Menteri, beliau dilantik pada beberapa jawatan tinggi dalam kerajaan Malaysia. Namun, beliau dipecat sebagai Menteri kerana menyokong 'Team B' dalam Majlis Agung UMNO pada tahun 1987. Beliau tidak menjadi anggota kabinet lagi sehingga 1991. Anwar Ibrahim, yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri, dipecat oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1998. Pada tahun 1999 Abdullah dilantik sebagai Timbalan kepada Tun Dr. Mahathir, dan pada tahun 2003, Abdullah akhirnya mewarisi jawatan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri Malaysia dan Presiden UMNO.


Biodata peribadi
Dilahirkan dalam keluarga yang warak di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Abdullah memulakan kerjayanya sebagai guru. Beliau pada mulanya ingin belajar Ekonomi di Universiti, namun setelah gagal dalam kertas Statistik, beliau tidak dibenarkan melanjutkan kursus kepujian dalam bidang ekonomi dan memilih untuk belajar Pengajian Islam[2]. Selepas menerima Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam daripada Universiti Malaya pada tahun 1964, beliau menyertai sektor perkhidmatan awam sebagai Penolong Setiausaha di Jabatan Perkhidmatan Awam. Pada tahun 1969, Abdullah berpindah ke Majlis Gerakan Negara (MAGERAN), sebuah badan yang berkuasa eksekutif untuk mentadbir negara yang ditubuhkan selepas rusuhan kaum pada Mei 1969. Abdullah kemudiannya dinaikkan pangkat menjadi Ketua Pengarah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, sebelum menjadi Timbalan Ketua Setiausaha dalam kementerian yang sama pada tahun 1974.
Abdullah berkahwin dengan Allahyarhamah Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood pada tahun 1965 dan dikurniakan dua orang cahayamata dan empat cucu. Pada 20 Oktober 2005, Endon Mahmood meninggal dunia selepas bergelut dengan penyakit barah payu dara sejak 2003.
Dalam tempoh kurang daripada 2 tahun menduda, beliau berkahwin dengan Jeanne Abdullah dan melangsungkan akad nikah pada 9 Jun 2007.
Beliau dikatakan mementingkan menikmati makan malam bersama keluarga dan gemar makanan Jepun. Sebagai seseorang yang dibesarkan di Pulau Pinang, beliau amat gemar mencuba pelbagai jenis makanan.
Setiap hari, selepas sembahyang Maghrib, beliau akan mengaji Al-Quran. Adalah menjadi kebiasaan beliau menulis nota dalam Jawi. Karangan Shakespeare kegemaran beliau ialah ‘Julius Caesar’. Selain dari keluarga sendiri, tokoh yang banyak mempengaruhinya, yang beliau anggap sebagai mentor ialah Tun Abdul Razak.
Antara peristiwa dunia yang meninggalkan kesan yang mendalam pada diri beliau ialah peristiwa 9/11, yang telah mendorong beliau untuk memperjuangkan fahaman Islam yang sederhana. Beliau juga adalah pencetus Islam Hadhari.
Beliau juga sangat berminat dengan kereta. Malangnya beliau tidak banyak berpeluang memandu kereta sendiri atas sebab-sebab keselamatan. Untuk menghilangkan lelah bekerja, beliau mungkin bermain golf, melakukan senaman atau meluangkan masa bersama cucu-cucunya. Abdullah juga gemarkan pertunjukan muzikal – ‘My Fair Lady’ antara yang paling diminatinya – serta seniman klasik seperti Nat King Cole. Beliau juga mempunyai alat iPod Nano. Beliau menghargai hasil seni Malaysia, dan merupakan seorang pengumpul seni ukiran kayu, serta anyaman rotan.

 Kerjaya dan politik

 Menyertai UMNO

Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Pada tahun 1978, beliau meletakkan jawatan untuk menjadi ahli parlimen Kepala Batas di Seberang Perai Utara (kawasan parlimen yang pernah diwakili oleh allahyarham ayahandanya) sehingga kini. Sejak 1981, Abdullah adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO. Beliau telah dipilih memegang jawatan Naib Presiden UMNO pada tahun 1984, 1987 dan 1990, dan dipilih semula untuk jawatan tersebut pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003.
Pada awal tempoh khidmat Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, satu pertikaian yang pahit terletus dalam UMNO dan membahagikan parti menjadi dua kem. Kumpulan yang menyokong Dr Mahathir digelar 'Team A' manakala kumpulan yang menyokong bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Musa Hitam digelar 'Team B'. Kemenangan Mahathir menyebabkan Tengku Razaleigh Hamzah dihalang daripada menyertai UMNO (Baru) yang baru ditubuh. Oleh sebab Abdullah seorang penyokong kuat kepada Musa Hitam, mentor politiknya, beliau dipecat sebagai Menteri Pertahanan dalam kabinet.
Abdullah dikembalikan jawatannya dalam kabinet pada 1991 dan diberikan jawatan Menteri Luar Negeri. Sehingga 1987, beliau pernah menjawat jawatan:
  • Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80)
  • Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81)
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84)
  • Menteri Pelajaran (1984-86)
  • Menteri Pertahanan (1986-87)
  • Menteri Luar Negeri (15 Mac 1991 - Januari 1999).

Sebagai Timbalan Perdana Menteri

Kerjaya politiknya kembali sempurna dengan perlantikan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri pada Januari 1999, selepas pemecatan Anwar Ibrahim. Sebagai Menteri Hal-ehwal Dalam Negeri, Abdullah membatalkan pengharaman Kitab Iban.
Seterusnya, Abdullah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada Januari 1999, sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia pada 31 Oktober 2003. Selain itu, Abdullah juga adalah Menteri Kewangan dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

 Sebagai Perdana Menteri

Abdullah Badawi dengan George W. Bush
Sejak menjadi perdana menteri, Abdullah telah berjanji mengetatkan kawalan rasuah dengan memberikan lebih kuasa kepada agensi-agensi pencegah rasuah serta memudahkan rakyat untuk mendedahkan amalan rasuah kepada pihak berkuasa. Beliau juga membuat tuduhan rasuah ke atas beberapa tokoh masyarakat dari zaman Mahathir, satu tindakan yang dipuji oleh orang ramai.
Abdullah juga mengemukakan Islam Hadhari, satu tafsiran Islam yang mengatakan bahawa perkembangan ekonomi dan teknologi adalah secocok dengan ajaran Islam. Selain itu, pentadbirannya menumpukan pemulihan sektor pertanian Malaysia. Pada 10 September 2004, Abdullah, sebagai Menteri Kewangan, mengemukakan belanjawan sulungnya yang dianggap oleh orang ramai sebagai berorientasi pengukuhan dan penyelenggaraan berbanding dasar pertumbuhan yang ditekankan oleh Dr Mahathir.Abdullah juga terkenal kerana menekankan keselamatan dalam negeri, selepas menyaksikan pertumbuhan amalan rasuah seperti penyogokan dalam pasukan polis.
Dikenali dalam lingkungan orang Melayu di Malaysia sebagai Pak Lah (singkatan untuk "Pak Cik Abdullah"), kerajaan Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Abdullah harus tidak dirujuk dengan nama panggilannya dalam dokumen rasmi serta dalam surat khabar; bagaimanapun, nama panggilan tersebut masih boleh digunakan secara tidak rasmi. Sebenarnya, Abdullah sering menggunakan nama panggilan itu untuk merujuk kepada diri sendiri dalam perhimpunan awam. Sejak menjadi Perdana Menteri, Abdullah telah menjawat jawatan pengerusi untuk Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC). Bermula dari 2005, beliau juga menjadi pengerusi untuk ASEAN.

Pasca Perdana Menteri

Selepas melepaskan jawatan perdana menteri dan presiden UMNO, beliau berehat sebentar di luar negara dan pada 1 September 2009, beliau dilantik menjadi pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia(IKIM).

Sebagai Presiden Barisan Nasional

Apabila Tun Dr. Mahathir berundur dari arena politik, beliau telah menggantikan beliau sebagai pucuk pimpinan parti pemerintah, Barisan Nasional.
Dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 2004 yang merupakan pilihan raya sulung Abdullah sejak menjadi Perdana Menteri, beliau mencapai kemenangan besar untuk Barisan Nasional, parti campurannya, dengan pencapaian 198 daripada 220 kerusi di Parlimen. Di Terengganu, partinya menewaskan PAS yang merupakan kerajaan negeri itu serta hampir-hampir menawan kubu PAS di Kelantan. Kemenangan ini dianggap secara meluas sebagai tanda berkenan kepada visi Islam yang sederhana berbanding fundamentalisme agama serta sokongan kepada dasar-dasar pencegah rasuahnya.Pada September 2004, sewaktu dilepaskan dari penjara, bekas Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang telah dikurung oleh bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir, memuji Abdullah di khalayak ramai kerana tidak campur tangan sewaktu mahkamah mengubah keputusan tentang sabitan liwatnya.
Selepas kecemerlangan besar dalam penggal pertama beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia apabila menyapu banyak kerusi pada Pilihanraya Umum Malaysia 2004, beliau menerima tamparan dan ujian hebat apabila Barisan Nasional yang diketuainya pada Pilihan raya umum Malaysia 2008 telah gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi Parlimen dan kehilangan kuasa pemerintahan di 4 buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kedah, dan Perak kepada parti pembangkang serta sekali lagi gagal merampas balik kuasa di Kelantan dalam Pilihanraya Umum Malaysia 2008. Oleh ini, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohammad berpendapat bahawa Abdullah harus mempertimbangkan perletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri Malaysia setelah kegagalan besar Barisan Nasional dalam pilihanraya tersebut.

 Melepaskan jawatan Perdana Menteri

Abdullah tidak menawarkan diri untuk menjadi calon Presiden pada pemilihan Agung UMNO pada 2009. Ini kerana beliau ingin menyerahkan jawatan tersebut kepada pengganti beliau sebagai Presiden UMNO sekaligus sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6.
Modal Insan sentiasa mendapat tempat di hati Tun Abdullah Ahmad Badawi sepanjang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri. Ini kerana beliau percaya modal insan merupakan aset terpenting untuk memacu negara ke hadapan. Selain itu pemahaman Islam Hadhari juga menyumbangkan kepada pembangunan modal insan ini. Itulah legasi Abdullah kepada Malaysia selepas mengundurkan diri sebagai pemimpin No. 1 negara. Oleh itu, beliau telah dikenali sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan.

Kontroversi

Setelah gerakan untuk menuduh orang-orang kenamaan seperti Eric Chia dan Isa Abdul Samad dengan rasuah, usaha pentadbiran Abdullah untuk membanteras rasuah dikatakan menjadi kurang jelas. Masih dibahaskan sama ada Abdullah masih terus melawan rasuah secara diam-diam ataupun dia telah sengaja melambatkan usaha dalam menghapuskan rasuah.
Walaupun Abdullah mengatakan bahawa dia mengalu-alukan pandangan atau kritikan yang membantu memperbaiki pentadbirannya, dia telah memberi amaran kepada Mukhriz Mahathir yang mengkritik dasar ekonominya pada Mesyuarat Agong UMNO 2006. Kerajaannya juga cuba mengawal sumber-sumber "bawah tanah" seperti laman web, forum dan blog, menganggap mereka yang menyebarkan maklumat secara maya sebagai "tidak punya kredibiliti". Di bawah Bill of Guarantee MSC, kebebasan Internet dijamin oleh kerajaan Malaysia. Oleh itu sebarang usaha untuk menyekat kebebasan bersuara di Internet dilihat sebagai usaha sia-sia.

Kebebasan media

Abdullah juga sering dikritik oleh penulis blog Malaysia dan media luar negara kerana sentiasa mendiamkan diri dengan kritikan terhadapnya. Dia telah bersumpah untuk bertindak keras ke atas penunjuk-penunjuk perasaan yang pro-demokrasi dan memberi sokongannya kepada polis untuk menghapuskan pertunjukan perasaan dan menangkap peserta dalam pertunjukan perasaan.  Ini telah diikuti oleh suatu siri larangan media berkenaan beberapa perhimpunan pro-demokrasi bersifat aman seperti Perhimpunan Bersih 2007 yang diadakan pada 10 November 2007. Media tempatan yang dikawal oleh kerajaan Malaysia tidak menyiarkan hal itu (dengan penuh) sedangkan ia telah diperihalkan oleh media luar negara seperti Al-Jazeera, Reuters, BBC dan CNN. Abdullah kemudian menyatakan bahawa dia pantang dicabar.

 Pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008

Abdullah Badawi sekali lagi dikritik mengamalkan tabiat menipu oleh ahli-ahli politik pembangkang, setelah beliau mengumumkan pembubaran Parlimen Malaysia pada 13 Februari 2008.  Ini kerana beliau telah berjanji pada 12 Februari 2008 bahawa pembubaran Parlimen tidak akan berlaku pada hari keesokan.
Walau bagaimanapun, ketika ditanya wartawan mengapa Parlimen dibubarkan pada 13 Februari sedangkan beliau pada hari sebelumnya menafikan akan membubarkan Parlimen, Abdullah Badawi mengatakan beliau tidak boleh memberi sebarang bayangan mengenai pembubaran parlimen .

Fakta bercelaru tentang daya saing Malaysia

Pada 28 Januari 2008, Abdullah Badawi mendakwa bahawa Malaysia di tangga kelapan dunia dalam konteks daya saing negara berdasarkan Laporan Daya Saing Dunia 2007 (World Competitiveness Yearbook 2007). Dakwaan itu hanya betul di kalangan kategori negara-negara yang mempunyai populasi 20 juta penduduk ke-atas, manakala keseluruhannya Malaysia hanya menduduki tempat ke-23 di dalam dunia. [8]
Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim mengatakan bahawa Abdullah Badawi sengaja memutarbelitkan hakikat dan keputusan Abdullah untuk mengeluarkan fakta yang bercelaru ini adalah usaha yang sangat lemah untuk menyembunyikan fakta bahawa asas-asas ekonomi Malaysia telah gagal bergerak di bawah pemerintahannya. Menurut Anwar, daya saing Malaysia semakin merosot dan dalam keadaan di mana ekonomi Malaysia dulunya setaraf dengan Singapura dan Hong Kong, Malaysia sekarang di kedudukan ke-23 di seluruh dunia, manakala Singapura di kedudukan kedua dan Hong Kong ketiga.
Anwar berpendapat bahawa Malaysia memerlukan kepimpinan yang lebih berwibawa sekiranya Malaysia ingin memperkasakan ekonominya sebagai gagasan ekonomi bertaraf global.

Usul undi tidak percaya

Pada 14 Julai 2008, ketua pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengetuai 14 Anggota Parlimen dari PKR, PAS dan DAP mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Abdullah Ahmad Badawi di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan (2). Usul itu "Bahawa Dewan yang mulia ini mengambil ketetapan tidak percaya terhadap kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia dan jemaah menteri beliau dalam menjalankan urus tadbir negara disebabkan terhakisnya keyakinan rakyat terhadap integriti kerajaan." Bagaimanapun usul itu ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan peraturan 18(7).[5] SAPP pimpinan Datuk Yong Teck Lee bertindak keluar dari Barisan Nasional kerana tidak lagi mempercayai Datuk Seri Abdullah. UPKO juga hendak mengikut jejak SAPP tetapi membatalkan hasrat itu.[6]

Serah 'blok minyak RM320b' kepada Brunei

Pada 30 April 2010, Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, Blok L dan Blok M yang kaya dengan minyak sebelum bersara awal pada 2008 seperti yang dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times sebagai pertukaran dengan daerah Limbang, Sarawak.  'dinafikan' oleh beliau yang berkata bahawa sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac 2009 untuk tempoh 40 tahun, bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.[

TahunNama AnugerahDaripada
2010Seri Utama Mahkota Wilayah (S.U.M.W.) - Datuk Seri UtamaPersekutuan
2009Seri Maharaja Mangku Negara (S.M.N.) - TunPersekutuan
2007Bintang Republik Indonesia Adi PradanaIndonesia
2005Darjah Seri Utama Sultan Mizan Zainal Abidin (S.U.M.Z.)Terengganu
2004Ijazah Doktor Persuratan (Honoris Causa)Universiti Jamia Millia Islamia, New Delhi, India
2004Pingat Jose Marti (Jose Marti Order)Cuba
2004Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M.) - Datuk Seri UtamaMelaka
2004Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (D.K.J.)Johor
2003Datuk Patinggi Bintang Kenyalang (D.P.) - Datuk PatinggiSarawak
2003Darjah Seri Paduka Sultan Azlan Shah (S.P.S.A.) - Dato' Seri DirajaPerak
2001Fellowship KehormatInstitute of Engineers Malaysia
2001Darjah Setia Tuanku Syed Sirajuddin Jamallulail (S.S.S.J.) - Dato' Seri DirajaPerlis
2000Darjah Seri Paduka Negeri Sembilan (S.P.N.S.) - Datuk Seri UtamaNegeri Sembilan
2000Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) - Dato' SeriSelangor
1999Fellowship KehormatLondon Chartered Institute of Marketing
1999Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat DiMulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad (S.S.A.P.) - Dato' SeriPahang
1999Seri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K.) - Datuk Seri PanglimaSabah
1997First Class Order Of Friendship Of DPRKRepublik Rakyat Demokratik Korea (Korea Utara)
1997Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N.) - Datuk SeriPulau Pinang
1994A Knight Grand Cross, First Class Of The Most Exalted Order Of The White ElephantThailand
1994Grand Cross Of The Order Of MeritChile
1992Dato' Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) - Dato'Selangor
1992Anuguerah "Qwang Hwa Chang" dari Republik KoreaRepublik Korea (Korea Selatan)
1991Grand Cordan Of The Order Of The Sacred TreasureJepun
1987Kedoktoran Kehormat oleh Universiti Western Michigan, Amerika SyarikatAmerika Syarikat
1983Diplomatic Service Merit, The Kwangha Medal oleh Presiden Republik Korea, Chun Doo HwanRepublik Korea (Korea Selatan)
1981Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N.) - DatukPulau Pinang
1979Darjah Johan Negeri (D.J.N.)Pulau Pinang
1974Kesatria Mangku Negara (K.M.N.)Persekutuan
1971Ahli Mangku Negara (A.M.N)Persekutuan

Garis masa

Khamis, 9 Disember 2010

''bapa perpaduan''

Hussein Onn

Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn (12 Februari 1922 - 29 Mei 1990) merupakan Perdana Menteri Malaysia ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".

Masa muda
Dilahirkan di Johor Bahru, Hussein Onn adalah anakanda kepada Dato' Onn Jaafar yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946. Bondanya Datin Halimah Hussein.
Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Telok Kurau School Singapura, kini Telok Kurau Primary School (Sekolah Rendah Telok Kurau) dan di English College (kini digelar "Maktab Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru. Selepas persekolahannya, Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940. Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun, India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad (Tentera India) dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan British melantik Hussein Onn sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan Polis Malaya" di Rawalpindi.
Hussein Onn pulang ke Malaysia pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot Polis Johor Bahru. Pada tahun berikut, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Hussein Onn kemudian ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di mana beliau menjadi pegawai daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.

Kerjaya politik

Hussein Onn yang berasal daripada sebuah keluarga yang mempunyai semangat nasionalisme dan akar politik yang mendalam, kemudian meletakkan jawatan perkhidmatan awam untuk menyertai politik. Pada tahun 1949, beliau menjadi Ketua Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang pertama dan kemudian, pada tahun 1950, beliau dipilih menjadi Setiausaha Agung. Bagaimanapun, Hussein Onn meninggalkan UMNO pada tahun 1951 untuk menyertai Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang ditubuhkan oleh ayahandanya.
Oleh sebab IMP tidak menerima sambutan yang baik, Hussein Onn pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn dan berjaya melayakkan diri sebagai Barrister-at-Law pada tahun 1958. Beliau pulang ke Malaya sebagai seorang peguam bertauliah dan bekerja di Kuala Lumpur.

Kebangkitan untuk berkuasa

Hussein Onn kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun 1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu. Beliau bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran.
Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau mewarisi Tun Dr Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri. Pada 15 Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. [1]
Hussein Onn termasyhur dalam penegasannya terhadap persoalan perpaduan melalui dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masyarakat. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau meneruskan agenda pembangunan Allahyaraham Tun Abdul Razak; usahanya dalam memajukan Malaysia tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Hussein Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu. Dengan itu, pada 20 April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional yang merupakan satu dana amanah bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara.
Hussein Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia juga diperbesar dan dipermodenkan kerana kekalahan Vietnam Selatan oleh pihak komunis yang menggemparkan seluruh rantau Asia Tenggara.
Hussein Onn menjalani pintasan koronari pada awal 1981. Pada 17 Julai dalam tahun itu, beliau bersara daripada politik aktif dan meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran Tun yang merupakan anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.

 Selepas persaraan

Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein meneruskan sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau memainkan peranan utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Tun Hussein juga menjadi Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada Petronas.
Sewaktu krisis kepimpinan UMNO yang berlaku pada tahun 1987, hubungan Tun Hussein dengan Dr. Mahathir menjadi buruk, dan beliau menyokong 'Team B' bersama-sama dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari saat itu, Tun Hussein dan Tunku menjadi pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Mahathir.
Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Tun Hussein mempunyai dua anak lelaki serta empat anak perempuan. Isterinya Toh Puan Suhaila Tan Sri Haji Mohd Noah. Pada 30 Mac 2004, anak lelakinya, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, menjadi Menteri Pelajaran Malaysia.Kemudian selepas Permulaan pentadbiran Dato' Seri Najib bin Tun Abdul Razak, Dato' Seri Hishamuddin dilantik pula sebagai Menteri Dalam Negeri. Sebaliknya, anak perempuan sulungnya, Datin Roqiyah Hanim, meninggal di Kuala Lumpur pada 17 September 2005 sewaktu berumur 56, kerana menghidap penyakit barah payu dara.

Garis masa

  • 1922: Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari.
  • 1942 (umur 20): Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.
  • 1945 (umur 23): Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.
  • 1946 (umur 24): Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.
  • 1950 (umur 28): Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
  • 1951 (umur 29): Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya Parti Negara.
  • 1958 (umur 36): Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.
  • 1964 (umur 42): Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO
  • 1969 (umur 47): Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertiggi UMNO) pada Jun.
  • 1970 (umur 48): Menjadi Menteri Pelajaran pada September.
  • 1972 (umur 50): Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO
  • 1973 (umur 51): Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri Perdagangan dan Perindustrian.
  • 1976 (umur 54): Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ketiga pada 15 Januari.
  • 1978 (umur 56): Menang jawatan Presiden UMNO tanpa bertanding.
  • 1981 (umur 59): Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.
  • 1990 (umur 68): Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung. Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.

''bapa kemerdekaan''

Tunku Abdul Rahman

Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah (8 Februari 1903 - 6 Disember 1990) merupakan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu dari 1955, dan Perdana Menteri pertama sejak kemerdekaan pada tahun 1957 sehingga 1970. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaiannya yang teragung. Biasanya dikenali sebagai "Tunku", beliau juga dikenang sebagai "Bapa Kemerdekaan" dan "Bapa Malaysia".

Kehidupan peribadi

Dilahirkan di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar, Kedah yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin, Tunku merupakan anak lelaki yang ketujuh dan anak yang kedua puluh kepada Sultan Abdul Hamid Halim Shah, Sultan Kedah yang ke-24. Bondanya Cik Menyelara, seorang isteri Sultan Abdul Hamid yang tidak berdarah gahara, ialah anak perempuan Luang Naraborirak (Kleb), seorang pegawai daerah Thailand. Kelahiran Tunku disambut secara biasa sahaja kerana beliau bukan bakal pengganti Sultan Kedah. Pengganti Sultan Kedah, Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid, telah pun berumur 30 tahun ketika itu.
Semasa kecil, Tunku dipanggil Awang kerana rupa parasnya yang tidak sesegak adik-beradiknya yang lain. Beliau bebas bermain di luar istana dan pernah membentuk pasukan bola sepak kampung. Tunku biasa mengendap burung dan melastik, serta bermain lumpur sehingga menghidapi penyakit puru di kakinya.

Pendidikan

Tunku bermula pendidikannya pada 1909 di sebuah sekolah rendah Melayu di Jalan Baharu, Alor Setar. Biasa berbahasa Siam di rumah, beliau belajar bahasa Melayu di sekolah itu. Seorang guru pula datang ke rumahnya untuk mengajar bahasa Inggeris. Tunku kemudian berpindah ke sebuah sekolah kerajaan bahasa Inggeris yang kini dinamakan Kolej Sultan Abdul Hamid. Di sini, beliau belajar di sekolah pada waktu siang dan membaca Al-Quran pada waktu petang.
Pada tahun 1913 sewaktu berumur 10 tahun, Tunku dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, abang sulungnya, dan belajar di Sekolah Thebsirintrawat (Debsirindir School). Pada tahun 1915, Tunku pulang dan meneruskan pendidikannya di Penang Free School. Antara gurunya ialah HR Cheeseman dan SM Zainal Abidin. Seorang yang aktif, beliau menyertai Pengakap dan Kor Kadet.
Pada tahun 1919 ketika berumur 16 tahun, Tunku menerima Biasiswa Negeri Kedah untuk melanjutkan pendidikannya di Kolej St Catharine di Universiti Cambridge. Beliau merupakan penuntut pertama untuk menerima pendidikan di United Kingdom dibawah tajaan Kerajaan Negeri Kedah. Ketika Tunku tidak dibenarkan tinggal di asrama St Catharine kerana dasar aparteid ('kulit berwarna') masih diamalkan, beliau membantah kepada William Peel, Penasihat British kepada Kedah. Akhirnya, pengetua sekolah itu terpaksa meminta maaf.
Dari segi berpakaian, Tunku agak kebaratan. Semasa beliau dihantar ke England, tiada sepasang pun baju Melayu yang dibawa. Tunku dan keluarganya hanya menempah pakaian Barat di kedai Pritchards di Pulau Pinang. Ketika di England, Tunku amat berlainan dengan Sultan Perak yang berbaju Melayu, siap dengan tengkolok.
Mula-mulanya, Tunku mengambil jurusan undang-undang bersama rakannya, Ivor Jenning (Sir), H.V. Davies dan George Brown, tetapi kemudian bertukar kepada jurusan sastera (Sejarah). Beliau suka bersiar-siar dengan motosikal Riley Sport dan kereta mewah, dan melakukan 28 kesalahan trafik jalan raya semasa berada di Cambridge. Tunku tidak dapat menduduki peperiksaan akhir Ijazah Sarjana Muda Sastera kerana terlupa jadual waktu peperiksaan. Dengan bantuan dan kerjasama daripada sahabatnya, Taib Andak, beliau memperolehi ijazahnya pada tahun 1925.
Pada tahun 1927, Tunku dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu. Beliau lulus semester pertama dalam jurusan undang-undang di Inner Temple pada tahun 1930. Selepas pemulangannya, Tunku bertugas sebagai Pegawai Latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah pada tahun 1931, dan dilantik sebagai Pegawai Jajahan untuk Kuala Nerang pada tahun berikutnya. Beliau dipindahkan ke Pulau Langkawi pada tahun 1935 oleh Clayton, Penasihat British sewaktu itu. Pada tahun 1937, Tunku bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani bersamping bertindak sebagai hakim daerah dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani. Sebuah masjid di Sungai Petani telah dinamakan Masjid Rahmaniah sempena nama Tunku.
Pada tahun 1938, Tunku pergi semula ke England buat kali yang ketiga untuk menyambung pelajaran undang-undangnya. Antara temannya ialah Sardon Haji Jubir. Beliau kembali ke Kedah pada tahun 1939 kerana terdapatnya berita bahawa perang akan meletus di Eropah. Pada 1940, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
Pada 9 Disember 1941, Tunku menyorokkan Sultan Abdul Hamid Halim Syah, ayahandanya yang ketika itu berumur 80 tahun, sewaktu pegawai British hendak membawanya ke India. Bagi beliau, tidak wajarlah seseorang sultan melarikan diri daripada tanah airnya sewaktu peperangan. Berpakaian Tentera Utara Australia, Tunku menculik ayahandanya yang ketika itu bersama dengan Syed Abu Bakar al Idrus, seorang Merinyu Kesihatan Kedah dan menyembunyikannya di Sedim, dekat dengan Kulim, di bawah jagaan Penghulu Wahab. Tunku Badlishah, Pemangku Raja Kedah, tidak berpuas hati dengan tindakan Tunku yang membelakangkannya sebagai bakal pengganti Sultan Kedah.
Pada 19 Disember 1941, Sultan Abdul Hamid dibawa semula ke Alor Star. Jepun mengiktiraf baginda sebagai Sultan Kedah tetapi pentadbirannya diletakkan di bawah Gabernor dan Tentera Jepun. Sultan Abdul Hamid meninggal pada tahun 1943. Semasa Jepun memerintah, Tunku kekal sebagai Pegawai Jajahan Kulim tetapi ditemani oleh Ohata, seorang pegawai Jepun yang pernah menjadi tukang gunting di pekan Alor Star.
Tunku menyambung semula pendidikannya di Inner Temple pada tahun 1947. Sewaktu tempoh itu, Tunku bertemu dengan Abdul Razak Hussein. Beliau dipilih sebagai presiden untuk Persatuan Pelajar Melayu Britain, dan Abdul Razak, yang berumur 26 ketika itu, dipilih sebagai setiausaha. Semasa itu, Tunku menyertai "Persatuan Pelajar India Islam" yang menuntut kemerdekaan India. Beliau juga berkempen untuk Lyold George Jurith, seorang calon Parti Liberal. Tunku akhirnya dilayakkan menjadi peguam pada tahun 1949.
Seorang yang bersemangat kesukanan, Tunku memulakan pertandingan bola sepak antarabangsa yang digelar "Pesta Bola Merdeka" pada tahun 1957. Pada tahun berikutnya, beliau dipilih sebagai presiden pertama untuk Konfederasi Sepak Bola Asia (AFC), sebuah jawatan yang beliau memegang sehingga 1976.

Keluarga

Pada tahun 1933, Tunku berkahwin dengan Mariam, seorang wanita kacukan Cina-Siam yang merupakan anak perempuan tauke lombong di Alor Star. Beliau dikurniakan dengan dua cahaya mata, iaitu Tunku Ahmad Nerang Putra dan Tunku Khadijah. Mariam meninggal dunia pada tahun 1934 kerana menghidapi penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah.
Selepas kematian Mariam, Tunku berkahwin dengan Violet Coulson, bekas tuan rumahnya di England. Antara saksi perkahwinannya di Geylang Serai, Singapura ialah Syed Ahmad al Sagoff. Sebenarnya, kerabat diraja Kedah dilarang berkahwin dengan wanita Inggeris kerana peristiwa penipuan Pulau Pinang oleh Kapten Francis Light, seorang Inggeris.
Tunku mengalami nasib yang sama seperti Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid. Dititahkan untuk menceraikan Violet oleh Pemangku Raja Kedah, Tunku kemudian berkahwin dengan Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah, seorang saudara jauh yang juga merupakan adik Syed Omar Barakbah, rakan sekuliahnya di England, pada tahun 1939. Perkahwinan ini direstui kerana berketurunan Arab yang ternama dan kaya di Kedah (Islam disamakan dengan Arab). Oleh sebab perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun, mereka mengambil tiga anak angkat iaitu Faridah, Sulaiman dan Mariam. Tunku juga telah mengahwini seorang yang berbangsa Cina pada tahun 1963 dengan rahsia dan telah mendapat dua orang cahaya mata perempuan yang diberi nama Tunku Noor Hayati dan Tunku Mastura.

Kerjaya politik

Selepas pemulangannya ke Malaya pada tahun 1949, Tunku ditugaskan untuk bekerja di sebuah pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Beliau kemudian meminta perpindahan ke Kuala Lumpur di mana beliau menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan selepas itu, dilantik sebagai Yang Dipertua Mahkamah Sesyen.
Pada tempoh itu, semangat nasionalisme bertambah hebat di kalangan kaum Melayu di tengah-tengah pengisytiharan penubuhan Malayan Union oleh Britain. Datuk Onn Jaafar mengetuai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) untuk menentangi Malayan Union (sila lihat: Sejarah Malaysia) dan Tunku menyertai partinya. Pada Ogos 1951, suatu krisis di dalam UMNO memaksakan Datuk Onn meletakkan jawatan sebagai presiden parti dan Tunku dilantik sebagai presiden yang baru. Beliau memegang jawatan itu selama 20 tahun.

Laluan ke kemerdekaan

Pada tahun 1954, Tunku mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperolehi kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan sulung itu tidak berjaya. Pada tahun yang berikut, pilihan raya persekutan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang pada saat itu merupakan parti campuran UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama. MIC yang mewakili kaum India kemudian menyertai Parti Perikatan pada tahun 1955.
Pada tahun 1955, Tunku membuat lagi satu perjalanan ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya, dan 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Sewaktu bendera British diturun di Kuala Lumpur pada hari kemerdekaan, Tunku mengetuai orang ramai untuk menyorak "Merdeka!". Gambar-gambar Tunku dengan tangan yang diangkat naik, dan perakaman-perakaman suaranya yang penuh emosi tetapi berazam mengetuai sorakan, kini merupakan lambang kemerdekaan Malaysia yang biasa.

Sebagai Perdana Menteri

Selepas kemerdekaan, Tunku mendominasikan politik Malaya dan memimpin Parti Perikatan ke kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada tahun 1959 dan 1964. Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 merupakan salah satu daripada pencapaian Tunku yang teragung.
Tunku pertama sekali mencadangkan sebuah persekutuan Malaya, Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunei dalam ucapannya kepada "Persatuan Wartawan Asing Asia Tenggara" pada tahun 1961 di Singapura. Pada 16 September 1963, dengan persekutuan negeri-negeri tersebut kecuali Brunei, beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Bagaimanapun, faktor-faktor perkauman bertambah buruk dengan pemasukan Singapura yang menaikkan bahagian kaum Cina sehingga hampir-hampir 40%. Kedua-dua UMNO dan MCA berasa tegang terhadap daya tarikan Parti Tindakan Rakyat (PAP pada waktu itu, diperlihatkan sebagai sebuah parti sosialis yang radikal) Lee Kwan Yew kepada pengundi-pengundi di Malaya. Untuk mengatasi kebimbangan itu, Parti Perikatan mencuba membentukkan sebuah parti di Singapura untuk mencabar kedudukan Lee di sana. Sebagai gerak balas, Lee mengancam bahawa PAP akan menyertai Pilihan Raya Persekutuan 1964 di Malaya, walaupun terdapatnya perjanjian awal bahawa beliau tidak akan berbuat demikian (sila lihat Hubungan PAP-UMNO. Ini membangkitkan kemarahan Tunku yang mendesak supaya Singapura meninggalkan Malaysia.
Pada 7 Ogos 1965, Tunku mengumumkan kepada Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur bahawa Parliamen haruslah mengundi untuk menyokong peninggalan Singapura daripada Persekutuan. Dalam perkataannya, Parliamen harus memilih untuk "memutuskan semua pertalian dengan sebuah Kerajaan Negeri yang tidak mempertunjukkan sebarang kesetiaan kepada Kerajaan Pusat" berbanding kaedah yang tidak diingini untuk menindas tindakan PAP. Pemisahan dan kemerdekaan Singapura menjadi rasmi pada 9 Ogos 1965.
Pada tahun 1961, Tunku menubuhkan Pertubuhan Asia Tenggara (ASA) yang memperkumpulkan Malaya, Thailand dan Filipina Perkumpulan ini kemudian digantikan dengan perkumpulan yang lebih besar, iaitu Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), pada 8 Ogos 1967.
Dalam Pilihan Raya Umum 1969, majoriti Parti Perikatan dikurangkan dengan hebat. Perhimpunan-perhimpunan tunjuk perasaan yang mengikuti pilihan raya itu mencetuskan rusuhan kaum pada 13 Mei di Kuala Lumpur. Sebahagian pemimpin-pemimpin UMNO yang diketuai oleh Tun Abdul Razak kritis terhadap cara pengendalian krisis itu oleh Tunku, dan MAGERAN, sebuah jawatan kuasa darurat, mengambil alih kuasa dan mengisytiharkan keadaan darurat.
Kuasa Tunku sebagai Perdana Menteri dibatasi secara besar, dan pada 22 September 1970, beliau terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tunku kemudian meletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO pada Jun 1971 di tengah-tengah penentangan hebat oleh 'Turki Muda' yang terdiri daripada penentang-penentang parti seperti Dr Mahathir dan Musa Hitam. Pasangan itu kemudian masing-masing menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Kegiatan Islam

Selepas menjadikan Islam sebagai agama Malaysia yang rasmi pada 1960, Tunku mengasaskan Pertubuhan Kebajikan Agama Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu mualaf Islam untuk menyesuaikan diri kepada penghidupan baru. Beliau memegang jawatan Presiden PERKIM sehingga setahun sebelum kematiannya.
Pada 1961, Malaysia menjadi tuan rumah kepada "Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa" yang pertama, suatu peristiwa yang diperkembangkan daripada gagasan Tunku sewaktu beliau mengadakan pertandingan tahap negeri yang pertama di Kedah pada tahun 1951.
Pada 1969, Tunku membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantikkan sebagai Setiausaha Agung yang pertama. Beliau kemudian menubuhkan Bank Pembangunan Islam sebagai sebuah institusi yang khusis di dalam OIC. Tunku juga merupakan Presiden "Majlis Da'wah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik" (RISEAP) dari 1982 sehingga 1988.

Tunku Abdul Rahman pada tahun-tahun yang akhirnya.

Kehidupan kemudian

Pada 1977, setelah memperolehi sebahagian besar hak milik The Star, sebuah syarikat surat khabar yang berasaskan di Pulau Pinang, Tunku menjadi pengerusinya. Ruang-ruangnya, "Mengenang kembali" ("Looking Back") dan "Sebagaimana yang Saya Perlihatkan" ("As I See It") kritis kepada kerajaan, dan pada tahun 1987, Perdana Menteri Dr Mahathir mengharamkan surat khabar itu. Ini menyebabkan perpecahan di dalam UMNO, dengan Tunku dan bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn menubuhkan sebuah parti baru yang digelar "UMNO Malaysia", tetapi pendaftarannya dibatalkan oleh Dr Mahathir yang menubuhkan UMNO Baru. Tunku kemudian menyokong Semangat 46 yang merupakan kumpulan serpihan UMNO yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah. Beliau berkempen dengan cergas untuk Semangat 46 dalam Pilihan Raya Umum 1990, tetapi sewaktu itu, kesihatannya telah merosot.
Dalam tahun-tahun terakhirnya, Tunku tinggal di sebuah rumah di Pulau Pinang. Beliau meninggal dunia pada 6 Disember 1990 sewaktu berumur 87, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Star.

Garis masa

  • 1903: Dilahirkan pada 8 Februari di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar yang lebih dikenali sebagai Istana Pelamin.
  • 1913 (umur 10): Beliau dihantar ke Bangkok untuk menetap bersama Tunku Yusuf ibni Sultan Abdul Hamid, iaitu abang sulung Tunku Abdul Rahman. Tunku belajar di Sekolah Debsirindir, Bangkok.
  • 1916 (umur 13): Pulang ke Kedah dan memasuki Penang Free School.
  • 1919 (umur 16): Belajar di England.
  • 1925 (umur 22): Memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera (Sejarah) dengan bantuan dan kerjasama dari sahabatnya Taib Andak.
  • 1927 (umur 24): Dihantar semula ke England untuk belajar undang-undang di Universiti Cambridge kerana keluarganya tidak berpuas hati dengan keputusannya yang lalu.
  • 1930 (umur 27): Lulus semester pertama, jurusan undang-undang di Inner Temple.
  • 1931 (umur 28): Berkhidmat sebagai pegawai latihan di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kedah dengan gaji sebanyak RM300.00 sebulan, dan kemudiannya sebagai Penolong Pegawai Jajahan di Kulim.
  • 1932 (umur 29): Berkhidmat sebagai Pegawai Jajahan di Kuala Nerang.
  • 1933 (umur 30): Berkahwin dengan Mariam, gadis kacukan Cina-Siam, anak tauke lombong Cina di Alor Setar. Akhir 1933, Mariam melahirkan anak perempuan dan dinamakan Tunku Khatijah ibni Tunku Abdul Rahman. Kemudian anak lelaki bernama Tunku Ahmad Nerang ibni Tunku Abdul Rahman.
  • 1934: Mariam meninggal dunia kerana penyakit malaria di Kuala Nerang, Kedah. Tunku berkahwin dengan kekasih lamanya Violet Coulson di Geylang Serai, Singapura.
  • 1935 (umur 32): Dipindahkan ke Pulau Langkawi oleh Penasihat British, Clayton. Selain itu , perkahwinan Tunku dengan Violet kurang direstui.
  • 1937 (umur 34): Bertugas sebagai Pegawai Jajahan di Sungai Petani.Beliau juga bertindak sebagai hakim daerah Sungai Petani dan Pengerusi Lembaga Kebersihan Sungai Petani.
  • 1938 (umur 37): Pergi ke England buat kali ke-3 untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang. Antara temannya ialah Saadon Zubir. Tunku berbaik semula dengan isterinya yang telah diceraikan , Violet Coulson.
  • 1939 (umur 36): Kembali ke Kedah kerana ada berita perang akan meletus di Eropah.Berkahwin dengan Syarifah Rodziah binti Syed Barakbah .Syarifah Rodziah Syed Syeikh Barakbah ialah adik rakan sekuliahnya di England iaitu Syed Omar Barakbah. Perkahwinan ini tidak mendapat seorang anak pun.
  • 1940 (umur 37): Dilantik sebagai Timbalan Pengarah Perkhidmatan Pasukan Kawalan Am Selatan Kedah.
  • 1941 (umur 38): Jepun menyerang Kota Bharu , Kelantan pada 8 Disember.
  • 1947 (umur 44): Berangkat semula ke England untuk menyambung pengajian * 1948 (umur 45): Dipanggil ke bar di Inner Temple.
  • 1949 (umur 46): Pulang ke Tanah Melayu. Pada mulanya, beliau dihantar ke pejabat Pegawai Undang-undang di Alor Star. Kemudian beliau memohon untuk bertukar ke Kuala Lumpur. Di Kuala Lumpur, Tunku menjadi Timbalan Pendakwa Raya dan kemudiannya, dilantik sebagai Presiden Mahkamah Sesi.
  • 1946: Menyertai UMNO.
  • 1951 (umur 48): Menjadi Presiden UMNO pada Oktober sewaktu Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan. Menganjurkan Pertandingan Membaca Al-Quran peringkat negeri yang pertama di Kedah.
  • 1954 (umur 51): Mengetuai satu rombongan ke England untuk berbincang bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu, tetapi kunjungan itu tidak berhasil.
  • 1955 (umur 52): Pilihan raya persekutuan umum yang pertama diadakan, dan Parti Perikatan(Barisan Nasional) memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Dengan majoriti ini, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Ketua Menteri Tanah Melayu yang pertama. Satu lagi rombongan ke London diadakan.
  • 1956 (umur 53): England bersetuju untuk memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Sebaik pulang dari England, Tunku mengisytiharkan berita gembira ini buat kali pertamanya pada 20 Februari di Bandar Hilir, Melaka.
  • 1957 (umur 54): Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos. Memperkenalkan kejohanan Pestabola Merdeka, yang merupakan pertandingan bolasepak antarabangsa.
  • 1958 (umur 55): Dilantik sebagai Presiden pertama Asian Football Confederation (AFC) (1958 – 1976).
  • 1960 (umur 57): Menubuhkan Pertubuhan Kebajikan Islam (PERKIM), sebuah pertubuhan untuk membantu golongan mualaf dalam menyesuaikan hidup baru sebagai Muslim.
  • 1961 (umur 58): Memulakan penubuhan Association of Southeast Asia (ASA) yang menggabungkan Tanah Melayu, Thailand dan Filipina. Menjadi tuan rumah Pertandingan Membaca Al-Quran Peringkat Antarabangsa yang pertama.
  • 1963 (umur 60): Membentuk Malaysia pada 16 September, apabila Tanah Melayu bergabung dengan Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (sekarang Sabah).
  • 1967 (umur 64): ASA dibubarkan untuk memberi laluan kepada persatuan yang lebih besar, iaitu Association of Southeast Asian Nations.
  • 1969 (umur 66): Membantu menubuhkan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan dilantik sebagai Setiausaha Agungnya yang pertama.
  • 1971 (umur 68): Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan digantikan oleh timbalannya, Datuk Abdul Razak Hussein.
  • 1982 (umur 79): Menjadi Presiden Majlis Dakwah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) (1982 – 1988).
  • 1990 (umur 87): Mangkat pada 6 Disember, dan disemadikan di Makam Diraja Langgar di Alor Star.